Luncur ais: Pendekatan berbeza Julian pertahan emas

Oleh Staff Writer 1 Disember 2019 539
Luncur ais: Pendekatan berbeza Julian pertahan emas
Atlet luncur ais, Julian Yee, mememberikan keceriaan apabila memenangi pingat emas keempat buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina hari ini. 

Dia turun dengan status Olimpian bagi mempertahankan pingat emas dalam acara free skating senior yang dimenanginya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu. 

Dalam saingan di S, Megamall itu, atlet berusia 22 tahun berkenaan memperagakan aksi cemerlang untuk mengatasi pencabar terdekatnya yang mendapat sokongan padu peminat tempatan, Christopher Caluza dan Edrian Paul Celestino.

"Saya begitu bangga atas pencapaian ini. 

"Saya berasakan pilihan lagu dan seragam membezakan saya dengan peserta yang lain. 

"Oleh itu, ia dapat menarik perhatian pihak juri dan saya fikir pendekatan itu banyak membantu saya," katanya. 

Walaupun kedudukannya sempat dicabar oleh lawan, dia menjelaskan ketenangan turut membantunya untuk merintis emas. 

"Sebaik pencabar saya itu menamatkan aksi, saya hanya fokus kepada diri sendiri dengan cuba membuat yang terbaik dalam semua pendekatan seperti lompatan dan pusingan dengan harapan apa yang saya telah latih dapat berjalan dengan baik. 

"Memang penat tetapi saya sangat gembira dengan keputusan yang diraih," katanya.

Sementara itu, dua wakil dalam kategori wanita gagal membutirkan sebarang pingat.

Aina Sorfina Mohd Aminuddin sekadar menduduki tempat ke enam dengan catatan keseluruhan 85.24 mata, manakala seorang lagi wakil negara, Chew Sze Chyi, di kedudukan kesembilan dengan jumlah 71.76 mata.

Pingat emas dimenangi wakil Singapura manakala tuan rumah dengan perak dan gangsa milik Indonesia.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen