"Ia bukan persiapan yang mudah."

Itu luahan atlet luncur ais negara, Ashley Chin Sook Hui, yang mengalami beberapa episod "kekalutan
mental" menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini, namun dia tetap berhasrat untuk
mempertahankan pingat emas yang diraihnya dua tahun lalu.

Skuad luncur ais negara melakar kejutan dalam edisi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila meraih lima pingat emas dan tiga gangsa.

Bagi mempertahankan emas yang diraih dua tahun lalu, atlet berumur 21 tahun itu menjalani latihan
intensif yang menyebabkannya mengalami beberapa episod kekalutan mental.

"Sejak memenangi emas dalam edisi lalu, saya telah menjalani persiapan setiap hari -- sebelum dan
selepas pulang dari sekolah.

"Selain itu, saya juga perlu mengawal pemakanan dan ia perkara yang paling sukar memandangkan saya amat menggemari makanan.

"Adakalanya fikiran saya agak terganggu apabila saya gagal mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, walaupun meletakkan harapan terhadap tujuh atlet baru luncur ais, pengurus skuad negara, Wong De Vin, optimis bahawa mereka mampu memberi saingan terbaik bagi menaiki podium.

"Bagi muka baru yang belum pernah menyertai sukan bertemasya, pada awalnya ia satu keadaan yang
sukar buat mereka tetapi secara perlahan-lahan, mereka mula dapat menyesuaikan diri," katanya.

Bagi kategori luncur ais berganti-ganti 3,000 meter wanita, skuad kebangsaan bakal dibarisi Dione Shu
Yen, Anja Anya, Kynie Chan dan Ashley.