Luncur ais: Julian waspada dengan pencabar 

Oleh Bernama 30 November 2019 69
Luncur ais: Julian waspada dengan pencabar 
Peluncur ais negara, Julian Yee, tidak mahu mengambil mudah status sebagai juara bertahan dan Olimpian negara dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina. 

Selepas penampilan pertama dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, peluncur berusia 22 tahun berkenaan kini berwaspada dengan cabaran yang semakin meningkat daripada peluncur serantau dalam temasya dwitahunan itu.

Selepas acara ‘short program’ di gelanggang ais, S, Megamall di Manila, semalam, Julian kini mendahului saingan selepas mengumpul 63.4 mata, diikuti rapat oleh dua peluncur tuan rumah, Christopher Caluza (62.4 mata) dan Edrian Paul Celestino (61.5 mata).

Selain saingan pasukan tuan rumah, Julian turut berwaspada dengan saingan peluncur Thailand, Micah Kai Lynette, dan wakil Singapura, Pagiel Yie Ken Sng, yang masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima.

Julian perlu bertenang dan memperagakan emosi terbaik selain mengurangkan kesilapan dalam acara free skating untuk menerajui saingan dan pulang dengan pingat emas.

Juara akan ditentukan menerusi pungutan mata keseluruhan daripada dua program tersebut.

Julian menyifatkan saingan dalam edisi Sukan SEA kali ini sebagai lebih sukar berbanding yang lalu, justeru dia perlu mengekalkan prestasi dengan memperagakan persembahan yang bersih tanpa cacat-cela.

“Tiada perbezaan sama ada anda seorang Olimpian dan juara bertahan kerana tekanan tetap sama. Bagaimanapun, dengan pengalaman beraksi di peringkat tinggi, ia dapat membantu saya daripada segi mental,” katanya.

“Jika semua berjalan lancar, saya harap dapat membawa pulang pingat emas,” katanya kepada Bernama.

Selepas 'short program' dengan iringan lagu ‘Everglow’ yang dimainkan oleh kumpulan Coldplay selama dua minit 50 saat, Julian, yang berpangkalan di Kanada, akan melengkapkan 'long program' selama empat minit dengan iringan lagu 'rock and roll’ kumpulan Kings and Queens, AC/DC dan Seven Nation Army esok.

Ditanya mengenai kepentingan cara menampilkan ekspresi wajah dalam luncur ais, Julian menganggap ia adalah antara komponen paling penting dalam saingan kerana emosi dengan iringan muzik tidak dapat dipisahkan.

“Jika komponen ini dapat digabungkan untuk melakukan aksi lompatan dan putaran yang sukar, sudah tentu ia adalah satu kelebihan,” katanya.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen