Luncur air: Harapan Malaysia lakar kejutan lebur

Oleh Penulis Jemputan 8 Disember 2019 789
Luncur air: Harapan Malaysia lakar kejutan lebur
Misi skuad luncur air negara untuk mencipta kejutan dalam acara kabel ski berpasukan campuran walaupun hanya sebulan menjalani latihan menggunakan sistem itu tidak kesampaian apabila meraih pingat gangsa Sukan SEA Filipina hari ini.

Peluncur negara memberikan tentangan walaupun kesuntukan masa untuk beralih daripada sistem tarikan kuasa bot kepada kabel.

Wakil adik-beradik, Aaliyah Yoong Hanifah, Aideen Yoong Hanifah dan Adam Yoong Hanifah serta Nur Nadiah Md Nasir memperagakan aksi terbaik dalam acara final slalom dan tricks.

Malah, Aaliyah menduduki tangga kedua slalom, namun tidak cukup untuk mengukuhkan pungutan mata.

Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gangsa hasil kutipan 410 mata sementara Thailand dan Indonesia berkongsi emas.

"Kami tidak pernah meraih pengalaman dalam acara kabel sebelum beberapa bulan terakhir tetapi saya rasa kami telah pamerkan semua kudrat yang ada. Persaingan agak baik," kata Aaliyah.

"Ia memang sukar tetapi secara keseluhan, ia sangat bagus. Persembahan saya tampak semakin baik," tambah Adam.

"Negara lain mempunyai kelebihan kerana memiliki keperluan kabel tetapi kami tiada. Kami sudah cuba yang terbaik untuk mencapai sasaran," ujar Nur Nadiah.

Apa yang menarik, Malaysia berpeluang bangkit dalam temasya yang akan datang apabila menurunkan barisan peluncur muda tatkala Adam baru berusia 11 tahun sementara Aideen, 14 tahun.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen