Skuad luncur air negara diketuai Aaliyah Yoong Hanifah berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan kuasa tarikan bot kepada kabel ketika Malaysia hanya akan memburu satu pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 di Taman Luncur Air Deca, Clark.

Peluncur air negara menggunakan sepenuhnya program latihan sebulan untuk menyesuaikan diri dengan kuasa tarikan kabel.

Ia pengalaman baru untuk semua empat peluncur negara yang sudah biasa menggunakan kuasa tarikan bot.

Tarikan kabel bermakna peluncur perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknik pegangan kabel selain lebih perlahan.

"Pergerakan dan teknik masih lagi sama, apa yang membezakan adalah kami akan menggunakan kabel berbanding ditarik bot sebelum ini," kata Aaliyah.

Malaysia meraih pingat gangsa dalam kejohanan ujian tiga minggu lalu yang menyaksikan emas milik Thailand sementara Indonesia meraih perak.

Apa yang menarik, semua pemenang cuma dibezakan beberapa mata, sekali gus sukar meramalkan negara mana akan menjuarai cableski berpasukan campuran dalam temasya dwitahunan itu.

"Saya mula mendapatkan rentak selepas minggu kedua dan lebih seimbang ketika meluncur," kata peluncur air negara, Aiden Yoong Hanifah.

"Walaupun masih lagi ketinggalan kerana Malaysia tidak memiliki kelengkapan yang digunakan bagi saingan Sukan SEA kali ini, kami kekal positif dan mahu melakukan yang terbaik," kata peluncur air negara, Nur Nadiah Hanani Md Nasir.