Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, paling terkesan apabila Malaysia hanya akan memburu satu pingat emas dalam Sukan SEA Filipina ekoran senarai acara yang ditawarkan memberi kelebihan kepada tuan rumah.

"Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kami memungut empat emas tetapi kali ini hanya menyasarkan satu emas, jadi kami perlu memburunya menerusi acara kabel ski berpasukan campuran.

"Situasi ini menampakkan penurunan mendadak daripada segi pungutan pingat emas buat negara.

"Kami akan bersaing dalam dua daripada empat acara yang dimenangi dalam temasya Kuala Lumpur 2017 dan ia memerlukan kami untuk mengumpul mata," katanya ketika sesi latihan di DECA Clark Wakepark, Clark.

Pasukan negara juga berdepan cabaran tersendiri apabila bakal ditarik oleh tali kabel dari atas berbanding bot seperti ketika beraksi di tempat sendiri.

"Ini agak aneh sepanjang hidup saya.

"Kami telah tiba di sini sebulan lebih awal, jadi kami sudah semakin bersedia dan telah menampakkan kemajuan."