Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tidak menggemari idea penyenaraian pemain profesional untuk ke Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan sambil menyifatkan ia bukan jaminan untuk merampas semula pingat emas buat Malaysia.

Misbun menyenaraikan lima pemain di bawah jagaannya kepada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, sambil nama perseorangan profesional, Liew Darren, turut berada dalam senarai.

Beliau mengakui emas sukar untuk dirampas semula memandangkan pencabar terkuat seperti Indonesia mempunyai Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting yang menghuni kedudukan ketujuh dan kelapan dunia sementara Thailand turut mempunyai tiga pemain perseorangan yang lebih baik rankingnya daripada barisan negara.

Jurulatih berusia 59 tahun itu, bagaimanapun, tidak panik, malah melabel pentas Sukan SEA sesuai untuk dijadikan medan pendedahan buat pemain mudanya.

"Taraf permainan pemain kita belum stabil.

"Inilah pelantarnya untuk menguji keupayaan mereka untuk bersaing walaupun di atas kertas, peluang mereka adalah 40-60 peratus," katanya.

Andai tidak menggunakan Darren, Misbun perlu memikirkan tiga individu yang sesuai untuk mengiringi Lee Zii Jia, yang kini menjadi tonggak utama skuad perseorangan lelaki susulan persaraan Datuk Lee Chong Wei.

Kali terakhir skuad perseorangan lelaki meraih emas adalah dalam edisi 2015 di Singapura menerusi Chong Wei Feng.

"Belum tentu pemain 'underdog' tidak boleh mengatasi pemain yang sudah stabil dan itulah harapan saya," tambahnya.