Presiden Perseketuan Lawan Pedang Malaysia (MFF), Rusni Abu Hassan, yakin pilihan untuk mempertaruhkan atlet baru di pentas Sukan SEA Filipina akan membuahkan hasil dalam tempoh dua tahun akan datang.

Skuad lawan pedang negara berjaya memperbaiki pencapaian edisi lalu di Kuala Lumpur apabila meraih dua pingat perak dan satu gangsa di Manila.

Salah satu perak itu dihadiahkan oleh atlet senior, Joshua Koh I Jie, dalam acara epee sambil satu lagi perak diraih menerusi acara foil oleh atlet baru.

Walaupun hanya menyasarkan dua gangsa ketika di peringkat awal, Rusni bangga skuad negara mengatasi jangkaannya walaupun hanya menaruh harapan kepada dua atlet senior, iaitu Joshua, dan atlet wanita, Natasha Ezzra Abu Bakar.

Bagaimanapun, untuk Sukan SEA 2021, Rusni menegaskan atlet baru yang membuat penampilan sulung mereka dalam temasya kali ini tidak lagi boleh memberi alasan bahawa mereka masih baru.

"Asalnya, saya hanya mahu berikan pendedahan untuk persiapkan mereka bagi saingan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam. Ketika itu, saya mahu mereka sudah memiliki pengalaman dan bukan melalui aksi pertama," katanya.