Hasrat atlet lawan pedang epee negara, Joshua Koh I-Jie, untuk memenangi emas seperti di Indonesia 2011 tidak kesampaian apabila berputih mata di tangan pilihan utama, Nguyen Thien Nhat dari Vietnam, menerusi keputusan 5-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Manila, sebentar tadi.

Atlet berusia 28 tahun itu, yang berlatih selama enam minggu di Pisa, Itali, gagal menghadirkan kilauan emas di tangan Tien Nhat dalam aksi final.

Gagal mengulangi pencapaian edisi 2011, namun dia berjaya memperbaiki pencapaian Kuala Lumpur 2017 apabila meraih pingat gangsa.

"Saya amat kecewa kerana gagal meraih emas, namun telah melengkapkan koleksi pingat dalam Sukan SEA. Ia bukanlah satu pencapaian yang buruk kerana saya berjaya memperbaiki pencapaian dua tahun ketika meraih pingat gangsa," katanya.

"Lawan saya memiliki taktikal yang mantap bagi menghadapi perlawanan final dan saya gagal menyesuaikan diri dengan secepat mungkin."

Saingan lawan pedang bersambung esok menerusi acara berpasukan dan Joshua yakin pingat mampu dijelmakan -- jika Malaysia memiliki laluan mudah.

"Ia bergantung kepada undian. Saingan yang sukar sudah dijangka tetapi kami akan berusaha mendapatkan pingat," katanya lagi.