Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, mahu memastikan Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan, Mac depan, mampu menjadi landasan terbaik untuknya menilai tahap kemampuan bagi layak secara merit ke Sukan SEA Filipina, tahun depan.

Latif sememangnya ingin layak buat kali kedua di pentas Sukan SEA selepas kali pertama beraksi dalam temasya Kuala Lumpur tahun lalu dengan menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Walaupun beraksi cemerlang dalam Sukan Para Asia 2018 dengan memperbaharui rekod dunia 7.64 meter, itu bukan tiket untuknya yakin layak dengan mudah ke temasya dwitahunan itu andai tidak konsisten pada musim depan.

Kejohanan Kebangsaan pada Mac depan akan menjadi ukuran pertama buat Latif menilai kembali sejauh mana jurang prestasi di antara dirinya dan atlet normal lain.

"Saya meletakkan sasaran untuk memperbaiki mutu lompatan dalam Kejohanan Kebangsaan pada Mac nanti," kata Latif.

Juara Paralimpik Rio 2016 itu amat menitikberatkan tahap kecergasan selepas dibelenggu kecederaan buku lali September lalu.

Paling utama, Latif perlu lebih berhati-hati andai ingin melakukan latihan di tahap maksimum bagi mengelak risiko kecederaan sama berulang.

"Saya masih lagi belum menjalani latihan intensif kerana mahu mengelak daripada kecederaan buku lali saya berulang."