Jaguh 110 meter berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, menganggap kejayaan dalam sesi ujian Kejohanan Pra-Sukan SEA Filipina, Isnin lalu, sebagai penyuntik semangat dan keyakinan dalam misi mempertahankan pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

Atlet kelahiran Sabah itu meraih kemenangan pertama beraksi di Stadium New Clark City bagi saingan pra-Sukan SEA, Isnin lalu.

Juara bertahan dalam acara 110m lari berpagar itu melakukan catatan masa 14.50s untuk mengatasi Alvin Vergel dari Filipina (14.57s) dan wakil Singapura, Qi Awyong Liang (14.58s).

Olahragawan Sabah yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67s itu sebelum ini mengalami kecederaan patah tangan kanan ketika menyertai Grand Prix Terbuka Malaysia, April lalu, dan memilih menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta.

Mula menampilkan aksi positif dengan kemenangan di venue Manila 2019, Rayzam Shah dijangka meletakkan sasaran untuk mempertahankan pingat emas yang diraih dua tahun lalu.

Ikut laporan selanjutnya dalam Nadi Arena jam 5.30 petang dan 7.30 malam ini.