Pemain boling tenpin wanita negara, Sin Li Jane, mahu menjadikan Kejohanan Asia di Kuwait bermula 20 Oktober ini sebagai medan pemanas badan dan mencabar diri menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

Setakat ini, Li Jane muncul pemain wanita tunggal yang sudah mengesahkan tempat ke temasya itu.

Ia bermakna masih terdapat tiga slot lagi untuk direbut pemain lain berdasarkan penilaian Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC).

Atlet berusia 27 tahun itu menganggap cabaran di Kuwait akan menjadi medan terbaik untuk mempersiapkan diri sebelum ke Filipina.

Selain Li Jane, lima pemain wanita lain yang akan ke Kuwait ialah Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Shalin Zulkifli, Nur Syazwani Sahar dan Esther Cheah.

"Sistem pengiraan matanya berbeza berbanding kejohanan lain, jadi kami hanya mahu fokus kepada permainan sendiri.

"Harap-harap kami akan dapat keputusan terbaik seperti yang diharapkan.

"Tiada sebarang tekanan tetapi kami akan memberikan yang terbaik.

"Kami sudah mula berlatih sejak pulang dari Thailand.

"Ia sudah hampir dua bulan dan segala-galanya kelihatan baik," katanya.