Atlet kurash negara berdarah Filipina, Fakhrul Adam Fauzi Cruz, menggunakan peluang kedua untuk menyumbang pingat perak Sukan SEA 2019 buat kontinjen negara, dua bulan selepas digugurkan daripada skuad judo.

Walaupun tidak diletakkan harapan, perlu mengeluarkan kos sendiri dan tersingkir daripada skuad judo, namun dia mengetepikan segala rintangan itu untuk mencipta nama dalam kategori bawah 90kg.

Lebih manis, atlet negara berumur 21 tahun itu muncul peserta pertama negara yang menyumbang pingat dalam acara di Pusat Acara Laus, Clark itu.

"Saya dulu atlet judo dan dalam sesi pemilihan, peserta di tempat kedua akan (mewakili negara) dalam acara kurash manakala pemenangnya akan beraksi dalam judo.

"Kepada keluarga yang berada di Filipina, saya ucapkan terima kasih kerana banyak memberi sokongan.

"Tidak lupa juga kepada rakan-rakan, adik-beradik di Malaysia, terutama abang saya yang akan bertanding dalam acara judo.

"Saya ucapkan semoga berjaya," katanya.

Pengurus kurash negara, Susan Cheah Pik Yee, pula menyimpulkan pencapaian itu satu kebanggaan: "Yang pertama, kami dapat menyertai acara pada hari ini.

"Yang kedua, kami diberi peluang dan yang ketiga pula, peserta negara sudah berikan yang terbaik.

"Walaupun berpeluang memenangi emas, kami harus akur bahawa ada atlet yang lebih baik."

Emas menjadi milik atlet Vietnam manakala peserta tuan rumah, gangsa.

Bagi saingan wanita bawah 52kg pula, Noor Fazira Mohamed, gagal mengikut jejak itu apabila tewas dalam keempat-empat pertarungan di peringkat liga sepusingan.