Meskipun kuartet 4x100 meter campuran negara berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan teknik larian, jaguh pecut negara, Nixson Kennedy, tidak mahu menjadikannya sebagai alasan untuk tidak meletakkan sasaran pingat emas dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan depan.

Ia merupakan satu cabaran buat kuartet negara untuk meraih pingat emas dalam acara itu, yang kali pertama di pertandingkan dalam temasya berkenaan.

Kuartet negara yang dibarisi Nixson, Jonathan Nyepa, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias, sedia menggalas cabaran itu dengan menyasarkan kedudukan terbaik.

"Banyak perbezaan di antara acara lelaki dan campuran kerana kami perlu berlari dengan wanita dan bukannya lelaki.

"Daripada segi kepantasan untuk menyerahkan baton agak susah sedikit.

"Banyak perkara baru yang kami kena belajar," katanya.

Sementara itu, Nixson masih belum mengetahui senarai pelari dalam acara 4x100m lelaki selain menegaskan ketandusan kejohanan kompetitif merencatkan persiapan mereka ke Filipina.

"Saya boleh katakan yang saya tidak berapa bersedia dalam acara lelaki kerana mereka masih belum berada di sini.

"Saya masih belum pernah berlatih dengan mereka.

"Saya masih tidak tahu siapa yang akan berlari dengan saya.

"Ia terpulang kepada jurulatih dan saya hanya mengikut sahaja.

"Saya ada pengalaman, cuma sekarang ramai pelari baru dalam pasukan.

"Saya takut mereka akan menggelabah nanti," katanya lagi.