Teguran keras daripada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, diharap menjadi pemangkin kepada perubahan penganjuran Sukan SEA selepas dilanda kontroversi menjelang upacara pembukaan rasmi Sabtu ini.

Menerusi perkembangan dalam media Filipina, Duterte meluahkan rasa kecewanya dengan kepincangan penganjuran temasya itu setakat ini.

Maklum balas itu disambut Chef-de-Mission Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, setibanya di Manila hari ini.

Selain masalah sebilangan besar venue yang masih belum siap, edisi Manila 2019 dibelenggu isu pengangkutan dan penyediaan makanan halal yang menjejaskan prestasi atlet.

"Saya berasa gembira apabila Presiden Filipina sendiri memberikan teguran.

"Saya fikir teguran itu agak keras buat PHISGOC (Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina) dan saya dapat lihat perubahan serta-merta.

"Yang pertama, soal makanan halal yang dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Isu lain seperti penginapan juga dikatakan sudah selesai.

"Saya harap ia tidak mengganggu (tumpuan) atlet-atlet kita yang sudah berada di sini," katanya.