Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan kontrak ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, yang berakhir hujung tahun ini tidak akan disambung.

Ini merupakan kegagalan kedua jurulatih kelahiran Melaka berkenaan dalam membawa Malaysia mara ke separuh akhir sepanjang lima edisi Sukan SEA selain turut gagal membawa skuad kendaliannya itu layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23, Mac lalu.

"Saya telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, bahawa kontrak saya tidak disambung.

"Jadi, saya terima ini dengan hati terbuka. Saya telah lama bersama FAM, terutama dengan pasukan-pasukan remaja.

"Buat masa ini, saya perlu memikirkan apakah langkah seterusnya.

"Apabila mendapat keputusan-keputusan yang baik dalam kejohanan, kita tidak boleh leka.

"Kita perlu menambah baik program dan pasukan seperti Filipina, Kemboja dan Laos bukan lagi pasukan belasahan seperti empat tahun lalu (yang menyaksikan) kita mempunyai kerja mudah apabila berdepan mereka.

"Mereka sudah mencapai tahap berbeza. Kita harus memikirkan program yang perlu dilakukan selepas ini.

"Saya percaya Kemboja yang turut layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 mempunyai program yang cukup teratur. Kita tidak boleh leka.

"Kepada peminat, terpulang kepada mereka kerana mereka mempunyai hak untuk bersuara tetapi kita harus faham realiti situasi sebenar," katanya sebelum berlepas pulang dari Manila, Filipina hari ini.

Perkara itu diumumkan Stuart sehari selepas anak buah kendalian pengendali berusia 49 tahun itu yang dibarisi rata-rata pemain muda terbaik negara gagal mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA 2019.

Menurutnya, perubahan perlu dilakukan dalam aspek kejurulatihan skuad muda negara, namun badan induk itu tidak akan tergesa-gesa mencari penggantinya ketika ini.

"FAM tidak akan melanjutkan kontrak ketua jurulatih skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee.

"Pengurusan berasakan memerlukan perubahan di peringkat skuad B-22 dan perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam Jawatankuasa Bola Sepak Kebangsaan," katanya.

Setuart turut menyatakan bakal ada tempat buat Kim Swee dalam badan induk itu selepas 10 tahun berkhidmat bersama pasukan negara.