Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan sasaran 70 pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina, sembilan hari lagi.

Dalam majlis penutup Perhimpunan Akhir Kontinjen Sukan SEA di Bangi hari ini, Syed Saddiq turut mengumumkan bahawa jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, terpilih selaku pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan temasya itu.

"Pengurusan kontinjen telah bersetuju untuk menamakan saudara Rafiq Ismail dari sukan boling tenpin sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia kali ini.

"Berdasarkan bengkel penetapan sasaran yang diadakan pada 5 dan 6 November lalu, Malaysia dijangka akan memenangi 70 pingat emas, 51 pingat perak dan 105 pingat gangsa.

"Sasaran 70 pingat emas itu dijangka akan meletakkan kontinjen Malaysia di kedudukan empat terbaik daripada 11 negara Asia Tenggara yang bertanding di Filipina tahun ini," katanya.