Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan drastik untuk menggugurkan pelari pecut, Zulfiqar Ismail, daripada menyertai Sukan SEA Filipina yang bermula Sabtu ini ekoran kecederaan paha.

Ia menyaksikan pelari muda, Haiqal Hanafi, dipilih sebagai pengganti.

Zulfiqar terpaksa menerima hakikat bahawa impiannya untuk ke Sukan SEA Filipina musnah gara-gara kecederaan itu.

Dia sepatutnya bergandingan dengan Jonathan Nyepa untuk mempertahankan pingat emas acara 100 meter yang dimenangi Khairul Hafiz Jantan di Kuala Lumpur dua tahun itu.

Penggugurannya membuka laluan buat Haiqal, 20, yang dianggap paling konsisten dalam kalangan pelari utama negara ketika ini.

"Mungkin ini rezeki saya untuk beraksi dalam acara individu di Filipina.

"Saya harap dapat melakukan yang terbaik dengan memecahkan rekod peribadi saya, 10.30 (saat).

"Kalau saya dapat melakukannya, Insya-Allah pingat akan berada dalam genggaman," kata Haiqal.

"Kami sudah bersedia dengan apa-apa keadaan dalam acara 100 meter.

"Kami boleh berusaha untuk mendapatkan pingat," tambah Jonathan pula.