Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sudah mendapatkan laporan perubatan daripada Institut Sukan Negara (ISN) sebelum menggugurkan pelari pecut, Zulfiqar Ismail, daripada menyertai Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini.

Badan induk itu menafikan bersikap tidak adil kepada Zulfiqar kerana sudah mendapatkan laporan ISN, yang mengesahkan pelari itu belum 100 peratus cergas, selain berbincang dengan barisan kejurulatihan skuad negara.

"Dia mengalami kecederaan paha kiri dan sedang menjalani pemulihan.

"Saya bercadang untuk tidak membenarkannya mengambil bahagian kerana mahu mengelakkan masalah yang lebih besar pada masa depan.

"Kerana itu, kami menggugurkan namanya," kata Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu.

Zulfiqar, yang mencatatkan masa kedua terpantas musim ini, akan digantikan oleh pelari berusia 20 tahun, Haiqal Hanafi, dalam acara 100 dan 4x100 meter.

"Saya rasa ia memang tidak adil untuk saya.

"Sebabnya, saya diarahkan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan SEA.

"Tetapi pada akhirnya, saya digugurkan.

"Apabila bertanya kepada jurulatih, mereka kata tiada apa-apa yang boleh dilakukan," katanya.