Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim, tampil dengan pendekatan berbeza apabila membenarkan pemainnya menyaksikan secara langsung perlawanan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina di antara Myanmar dan pasukan tuan rumah itu di Stadium Memorial Rizal, Manila semalam.

Kebiasaannya, pemain hanya menyaksikan perlawanan lawan dalam sesi tayangan video di hotel penginapan.

Bagaimanapun, menjelang perlawanan Kumpulan A dengan tuan rumah, Filipina, di venue sama malam esok, Kim Swee membenarkan anak buahnya untuk menyaksikan secara langsung kekuatan skuad Azkals itu di stadium demi membangkitkan semangat mereka bagi memburu tiga mata.

"Apa yang penting, mereka dapat faham apa tugas mereka dan dengan menyaksikan perlawanan itu (secara langsung), mereka dapat faham dengan lebih cepat sewaktu sesi tayangan video selepas itu," katanya.

Bagi penyerang negara, Akhyar Rashid, pendekatan yang dipilih Kim Swee itu dapat memberikan kesan yang positif.

Jelasnya, aksi hambar dalam perlawanan pertama -- terikat 1-1 dengan Myanmar -- Isnin lalu perlu ditebus dengan pungutan tiga mata dalam pertemuan berikutnya.

"Ia perlawanan yang sukar kerana mereka (pemain Filipina) memiliki fizikal yang agak besar.

"Tetapi berdasarkan apa yang saya lihat, mereka kerap melakukan kesilapan dalam perlawanan.

"Jadi, kami akan memanfaatkannya untuk mencari gol," katanya.

Sementara itu, Chef-de-Mission (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mahu persatuan dan kelab bola sepak di seluruh negara mengutamakan kepentingan skuad Harimau Malaya itu dalam memburu pingat emas edisi kali ini.

Ia selepas beberapa pemain dalam skuad kendalian Kim Swee itu menjadi buruan kelab-kelab tempatan bagi menghadapi Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

"Saya merayu kepada persatuan, kalau boleh biarlah mereka (pemain negara) memberikan tumpuan terhadap Sukan SEA dahulu.

"Kerana apa yang mereka lakukan (ketika) ini adalah untuk negara.

"Saya juga amat bersetuju dengan saranan Datuk Ong supaya pemain-pemainnya tidak diganggu.

"Ia amat penting kerana kita tahu ibu segala pingat itu adalah (acara) bola sepak.

"Dan mereka ada peluang kerana berada dalam keadaan yang cukup baik," katanya.