Kickboxing: Malaysia raih dua perak, satu gangsa

Oleh Staff Writer 10 Disember 2019 314
Kickboxing: Malaysia raih dua perak, satu gangsa
Hasrat untuk melihat kejutan daripada wakil bidan terjun negara dalam kickboxing tidak berlaku apabila mereka menamatkan saingan Sukan SEA Filipina dengan dua pingat perak dan satu gangsa hari ini.

Tiada penambahan emas dari Manila ketika masih ada harapan disandarkan kepada Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya dan Mohammed Mahmoud yang pada asalnya merupakan atlet muay thai.

Tanpa persediaan khusus dan hanya mengmbil tempoh dua bulan untuk menguasai teknik serta peraturan, ia memberi ruang mudah buat wakil Vietnam, Nguyen Xuan Phuong, untuk menguasai tiga pusingan bagi kategori 57 kilogram lelaki itu.

Lebih sukar, Awangku Abdul Rahman terpaksa menambah berat badan sebanyak 6kg dan dia mengakui gagal untuk beraksi dengan selesa ketika berdepan lawan yang lebih lincah dan akur dengan kekalahan 3-0.

"Sebelum ini, saya hanya beraksi untuk 51kg dan kali ini saya menaikkan berat sekitar 6kg untuk beraksi dalam 57kg. Lawan sangat besar dan tinggi, jadi ia menyukarkan saya," katanya.

Sementara itu, dalam kategori 63.5kg, Mohammed Mahmoud tewas 3-0 di tangan wakil tuan rumah, Jean Claude Saclag, dalam aksi final yang jelas dikuasai sepenuhnya atlet Filipina itu.

Beraksi tanpa memahami cara pembahagian mata dengan jelas menjadi salah satu punca wakil negara sukar untuk mengatur strategi dalam setiap pusingan.

"Saya tidak faham cara kiraan mata. Saya hanya lakukan yang terbaik dan berserah untuk mendapatkan mata. Saya terpaksa meminta bantuan untuk mengetahui kedudukan aksi," kata Mohammed.

Seorang lagi atlet kebangsaan, Muhammad Iffat Muizzuddin Mat Ripen, sekadar membawa pulang gangsa kategori 60kg setelah menewaskan wakil Kemboja, Chork Sivin, 2-1 dalam penentuan tempat ketiga.



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen