Raja pecut Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, gagal melepasi syarat kelayakan 10.37 saat ke Sukan SEA dalam Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), hari ini.

Kejohanan yang menjadi medan kelayakan terakhir di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) itu menyaksikan atlet berusia 21 tahun dari Melaka itu sekadar mencatatkan 10.71 saat untuk menamatkan larian di tempat kedua dalam pusingan akhir, lebih perlahan berbanding 10.59s yang dicatatkan dalam separuh akhir, pagi tadi.

Catatan itu juga jauh berbeza daripada rekod kebangsaan 10.18s miliknya yang dilakukan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016.

Acara itu telah dimenangi oleh Muhammad Haiqal Hanafi dari Johor dengan catatan 10.59s manakala gangsa menjadi milik Muhammad Zulfiqar Ismail dari Terengganu (10.81s).

Mengulas mengenai catatan itu, Khairul Hafiz mengakui prestasinya pada masa ini tidak memberangsangkan berikutan baru enam minggu kembali ke balapan selepas pulih daripada kecederaan selama tujuh bulan.

"Saya rasa tak bagus juga kalau saya mewakili negara jika prestasi saya masih tak meningkat. Saya tahu perbezaan pada badan saya apabila saya lari selepas pulih daripada kecederaan berbanding ketika saya melakukan catatan 10.18s.

“Saya bersyukur dengan catatan saya dalam tiga kejohanan setakat ini. Saya tak nak tertekan dengan apa yang orang kata, sebab hanya saya sebagai atlet dan jurulatih sahaja yang tahu kesusahan yang dilalui.

“Saya masih muda lagi, ada banyak lagi Sukan SEA yang boleh disertai pada masa akan datang. Selepas ini, saya tunggu apa perancangan jurulatih saya (Mohd Poad Md Kassim),” katanya.

Dalam Sukan SEA edisi ke-29 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz meraih emas dengan catatan 10.38s di Stadium Nasional, Bukit Jalil mengatasi juara bertahan, Eric Shauwn Cray dari Filipina dan Kritsada Namsuwun dari Thailand yang mencatatkan masa 10.43s (masa sama).

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata peluang Khairul Hafiz dan atlet lain ke Manila masih belum tertutup, dengan keputusan berkemungkinan besar bakal dibuat dalam mesyuarat pemilihan terakhir KOM, Ahad ini.

Beliau berkata setakat ini seramai 15 atlet telah layak dalam kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) manakala atlet yang telah menghampiri syarat kelayakan akan dipertimbangkan dalam kategori B.

“Buat masa ini, Jonathan Nyepa telah melepasi syarat kelayakan, iaitu kedudukan tiga teratas Asia Tenggara pada masa ini. Khairul baru pulih dari kecederaan, mungkin dalam masa sebulan lebih, baru dia boleh catatkan masa di bawah 10.50s.

“Sudah pasti kami tidak mahu meninggalkan juara bertahan, kami akan buat perancangan untuk membantunya. Saya yakin dan percaya, kalau buat perancangan baik, Khairul Hafiz mampu kembali pada kedudukan terbaik,” katanya.

Acara 100m wanita turut menyaksikan tiada sebarang atlet kebangsaan yang melepasi syarat kelayakan apabila Siti Fatimah Mohammad yang mewakili ATM meraih emas dengan catatan 12.28s, berbanding syarat kelayakan 11.58s.

Rakan sepasukannya, S. Komalam Shally (12.41s) dan Azreen Nabila Alias dari Terengganu (12.55s), masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

-- BERNAMA