Tuan rumah, Filipina, dijangka menaikkan ganjaran kepada pemenang pingat emas Sukan SEA bulan depan selepas senator republik itu, Christopher Bong Go, mendedahkan pengumuman akan dibuat mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, atlet negara itu bakal menerima ganjaran antara yang terbesar di Asia Tenggara dengan pemenang pingat emas bakal menikmati RM24,000 -- lebih RM4,000 berbanding Malaysia.

Kerajaan Filipina memperuntukkan RM1.2 bilion untuk penganjuran edisi ke-30 itu sementara pelaburan berkenaan akan menjadi lebih bermakna sekiranya atlet tuan rumah muncul juara keseluruhan.

"Saya tidak dapat mengulas mengenai peluang untuk muncul juara keseluruhan sekiranya satu lagi insentif ditawarkan," katanya.

Filipina pernah sekali muncul juara keseluruhan, iaitu ketika muncul sebagai tuan rumah pada edisi 2005.

Ini kali keempat mereka menganjurkan temasya dwitahunan di rantau Asia Tenggara itu.

Untuk rekod, Singapura menawarkan ganjaran tertinggi emas Sukan SEA, iaitu sebanyak RM30,600 sementara Malaysia menghadiahkan RM20,000.