Pelari pecut negara, Zaimah Atifah Zainuddin, enggan menjadikan kekangan kuartet 4x400 meter wanita untuk berlatih bersama sebagai alasan untuk tidak membutirkan pingat dalam Sukan SEA Filipina minggu depan.

Selepas meraih pingat perak dengan catatan 3 minit 44.79 saat dalam Kejohanan Prasukan SEA di Venue sebenar bulan lalu, kuartet wanita 4x100 meter negara, yang dibarisi Nurul Faizah Asma Mazlan, Fathin Faqihah Mohd Yusuf, Teoh Kim Chyi dan Zaimah Atifah, hanya bergandingan dalam Kejohanan Innotex sebagai persiapan menjelang temasya itu.

Meskipun setiap pelari berlatih di bawah kendalian jurulatih berbeza sepanjang persediaan ke temasya itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur berkenaan yakin mereka mampu melakukan sesuatu di Manila.

Kuartet negara membawa misi untuk memperbaiki catatan 3 minit 39 saat yang dicatatkan dalam edisi di Singapura pada 2015.

"Kami akan mencuba sebaik yang boleh, Insya-Allah.

"Kita tidak tahu apa yang akan terjadi, kalau ada rezeki, mungkin kami boleh mendapatkan pingat emas," katanya.

Dalam pada itu, Kim Chyi, yang akan melakukan penampilan sulung dalam temasya itu, mahu memanfaatkan peluang selepas diberikan kepercayaan untuk membarisi kuartet kali ini.

"Walaupun baru kali pertama, saya yakin kerana ada dua orang perlari senior.

"Saya yakin kami boleh membawa balik pingat," katanya.