Atlet karate negara, A. Somanroy, menyimpan hasrat untuk menukar warna pingat dalam penyertaan kali keduanya di pentas Sukan SEA Ke-30 menjadi kilauan emas menjelang aksi itu yang bakal membuka tirai Sabtu ini.

"Saya menyasarkan pingat emas berikutan sudah membuat persiapan baik bagi temasya kali ini dan saya percaya dapat menghasilkannya.

"Daripada segi psikologi, kami sudah bersedia, begitu juga secara fizikal.

"Saya percaya kami boleh menyerlah kali ini," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino hari ini.

Walaupun pihak juri sering menimbulkan kontroversi dalam sukan subjektif seperti karate dan lebih memihak kepada atlet tuan rumah, ia bukan halangan buatnya untuk memasang hajat besar.

"Saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri.

"Kami sudah bekerja keras dan saya memiliki kepercayaan untuk memberikan persembahan yang hebat.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal masa depan, jadi saya fokus kepada apa yang telah kami latih."