Karate: Pengorbanan trio negara berbaloi

Oleh Staff Writer 9 Disember 2019 385
Karate: Pengorbanan trio negara berbaloi
Pengorbanan selama dua tahun dianggap berbaloi apabila skuad karate negara berjaya mempertahankan pingat emas acara kata berpasukan lelaki untuk tiga edisi berturut-turut dalam saingan Sukan SEA Ke-30 hari ini.

Trio Malaysia dibarisi Emmanuel Leong, Ivan Oh dan Thomson Hoe mempamerkan rutin kemas dan bertenaga untuk memastikan emas keempat skuad karate negara dalam temasya dwitahunan itu.

Ia hasil latihan rapi sejak 2017, sejurus mereka tamat kempen Sukan SEA dua tahun lalu bagi memastikan penguasaan mutlak trio itu dalam acara kata berpasukan lelaki.

Dengan kejayaan itu, ia meletakkan mereka dalam rekod yang cukup baik sebagai pemegang pingat emas sejak edisi 2013 Naw Pyi Daw, Myanmar, biarpun karate tidak dipertandingkan di Singapura 2015.

"Meraih pingat emas ketika beraksi di tempat lawan membuktikan kami mampu menampilkan aksi cemerlang dan bermutu," kata Emmanuel.

Wakil negara itu berjaya meraih 25.4 mata dalam aksi final untuk meraih emas mengatasi Indonesia yang membariskan Albiadi Albiadi, Andi Dharmawan dan Andi Mardana yang sekadar meraih 23.98 mata untuk berpuas hati dengan perak.

"Indonesia merupakan pencabar utama kami dan saya sentiasa menasihatkan rakan sepasukan bahawa setiap kali kami turun ke gelanggang, hanya kami bertiga dan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persembahan sendiri."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen