Atlet karate negara, P. Madhuri, yakin mampu melangkaui pencapaian bekas jaguh negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, apabila berjaya menjuarai kategori 55 kilogram individu dalam Sukan SEA Ke-30 hari ini.

Kempen skuad negara terus cemerlang apabila Madhuri menyumbangkan pingat emas kedua selepas menewaskan atlet Thailand, Tippawan Khamsi, 4-1.

Kemenangan tersebut menjadi penyuntik semangat bagi Madhuri untuk terus melakar sejarah dengan harapan mampu mengatasi idolanya, Syakilla.

"Saya akan cuba mengatasi pencapaian Syakilla. Dia merupakan idola saya dan dia turut berkongsi ilmu dengan saya," kata Madhuri.

Sementara itu, rakan sepasukan, M. Mathivani, juga beraksi cemerlang apabila berjaya merangkul pingat perak dalam kategori 61 kilogram.

Walaupun hanya meraih pingat perak, Mathivani berpuas hati dengan pencapaiannya kerana mampu bersaing sengit di pentas final sebelum tewas tipis kepada atlet Thailand, Arm Sukkiaw, 3-2.

"Saya agak kecewa kerana gagal menghadirkan pingat emas, namun membuktikan berjaya kembali ke pentas ini dan usia bukan penghalang," kata Mathivani.

"Ini adalah permulaan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Saya memberikan jaminan kepada anda jika atlet-atlet ini mempercayai kemampuan masing-masing, mereka mampu ke tahap lebih tinggi," kata ketua jurulatih negara, Ali Reza Souleymani.