Biarpun Sukan SEA Ke-30 di Filipina hanya akan membuka tirai secara rasmi minggu depan, sudah ada rungutan dan kekecewaan daripada kontinjen yang akan bertanding, khususnya dalam acara bola sepak yang akan bermula esok.

Dalam sidang media menjelang perlawanan pertama hari ini, setiap ketua jurulatih meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap beberapa isu yang gagal ditangani pihak penganjur.

Antaranya adalah ketua jurulatih Thailand, Akira Nishino, yang terpaksa melakukan latihan ringan di hotel kerana penganjur menempatkan mereka di hotel penginapan di Binnan, yang memerlukan perjalanan tiga jam untuk ke Metro Manila.

"Saya menganggapnya sebagai cabaran yang kami perlu hadapi.

"Selepas terkandas di lapangan terbang semalam, saya tidak dapat membawa pemain ke padang latihan kerana ia memakan masa yang terlalu lama untuk ke sana," katanya.

Turut mengalami nasib sama adalah skuad Kemboja dan Timor Leste yang tersadai di balai ketibaan Lapangan Terbang Ninoy Aquino, Manila selepas penganjur gagal menguruskan pengangkutan ke hotel penginapan mereka sebelum dibawa ke hotel yang salah.

"Kami sudah bersedia memandangkan kami tahu keadaanya tidak akan sempurna terutama, apabila anda bukan negara tuan rumah.

"Tetapi perkara itu terjadi dan kami perlu menunggu selama beberapa jam sebelum diambil.

"Ia tidak ideal kerana kami terpaksa menunggu lapan ke sembilan jam untuk ke hotel.

"Perkara itu terjadi dan kami sudah bersedia," kata ketua jurulatih Kemboja, Felix Dalmas.

"Saya harap pada masa akan datang, situasi itu tidak akan berulang.

"Saya fikir setiap negara (bertanding) perlu dihormati dan apa yang berlaku semalam tidak begitu indah untuk diingati.

"Tetapi tidak mengapa, ia sudah berlaku dan kami perlu fokus terhadap permainan kami," tambah ketua jurulatih Timor Leste, Fabiano Flora, pula.