Jujitsu: Gelaran mangsa buli pacu semangat Adam raih pingat

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2019 806
Jujitsu: Gelaran mangsa buli pacu semangat Adam raih pingat
Pengalaman menjadi mangsa buli di sekolah mendorong Adam Akasyah menyertai sukan jujitsu sebelum mencipta sejarah selaku atlet Malaysia pertama meraih pingat dalam acara itu di pentas Sukan SEA.

Adam menewaskan atlet Vietnam, Pham Tri Dung, 6-4 dalam penentuan gangsa kategori bawah 69kg lelaki hari ini.

Dia pernah menjadi mangsa buli di sekolah sebelum mengambil keputusan menyertai kem jujitsu lima tahun lalu.

Seni mempertahankan diri itu meningkatkan keyakinannya hingga terpilih mewakili Malaysia ke Sukan SEA Filipina.

Lebih menarik, ketika penentuan gangsa, dia bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan lawannya itu, sekali gus muncul atlet sulung negara yang meraih pingat bagi sukan itu.

"Sewaktu di sekolah, ada yang menarik kolar baju saya tetapi jujitsu memberi saya keyakinan. Saya hanya bertanya apa yang mereka mahukan. Ia memberikan anda kekuatan untuk melawannya," katanya.

Persatuan Jujitsu Malaysia menghantar empat wakil dalam penampilan sulung temasya kali ini tatkala kesemua atlet dan pegawai negara sanggup mengeluarkan kos berjumlah RM24,000 untuk menggalas cabaran negara di Filipina.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen