Atlet judo negara, Muhamad Ruzaini Abd Razak, sanggup mengetepikan hasrat mencari pekerjaan selepas tamat pengajian, Jun lalu sebelum meraih pingat perak kategori atas 100 kilogram lelaki Sukan SEA Filipina, hari ini.

Ruzaini terlepas impian untuk menamatkan kemarau emas 38 tahun negara tetapi dia tetap bersyukur kerana masih mampu membutirkan perak.

Dalam masa sama, dia juga puas kerana dapat menghadirkan kegembiraan buat keluarga setelah sukar meluangkan masa bersama mereka ekoran jadual latihan padat yang terpaksa dilalui.

"Memang begitu emosi kerana saya meletakkan sasaran tinggi buat diri sendiri. Saya melihat peluang cerah tahun ini untuk meraih emas tetapi apakan daya, ketentuan itu saya terima. Syukur saya mengutip perak dan ini adalah hadiah buat ibu-bapa saya kerana mereka juga berkorban," katanya.

"Saya jarang pulang ke rumah kerana padat dengan jadual latihan di Terengganu selepas tamat belajar."