Pengorbanan atlet judo negara, Tan Kei Yi, hingga sanggup meletak jawatan sebagai penyelia restoran demi memburu pingat sulung acara ju-no kata dalam sejarah Sukan SEA tidak kesampaian apabila meraih tangga keempat.

Dia, yang bergandingan dengan Nur Aisyah Che Adzimi, terlepas podium apabila dipisahkan dengan jurang 2.5 mata dengan pemenang pingat gangsa dari Vietnam yang mengumpul 395.5 mata.

Acara di Pusat Pameran Kumpulan Laus, Clark, itu menyaksikan Thailand menguasai emas disusuli Laos.

"Kami bekerja keras, mungkin tuah tidak menyebelahi kami.

"Ini kali pertama kami menyertai Sukan SEA dan layak pula ke final, ini membuktikan kami sudah meningkatkan prestasi.

"Sekiranya jurulatih tidak berikan sokongan, kami pasti tidak mampu mara sejauh ini," kata Kei Yi.