Tanggungjawab besar menanti dua atlet judo negara, Tan Kei Yi dan Siti Nur Aishah Adzmi, untuk menggalas cabaran menamatkan kemarau pingat emas dalam penampilan pertama mereka di pentas Sukan SEA.

Skuad judo kebangsaan menyasarkan satu emas melalui kategori ju no kata yang kembali dipertandingkan selepas tiga edisi.

Kei Yi dan Aishah sedar mereka perlu berwaspada untuk menerima tentangan daripada wakil Laos serta Vietnam dalam misi mengembalikan kilauan emas yang kali terakhir diraih dalam edisi 1981 di Manila.

"Malaysia sudah lama tidak hantar wakil untuk kategori kata, jadi ia ibarat satu kepulangan. Kurang dua minggu lagi, saya dan pasangan akan ke Jepun untuk latihan," kata Kei Yi.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Marjan Abdullah, optimis skuad negara mampu mencipta sejarah di Filipina selepas Kei Yi dan Aishah meraih perak dalam Kejohanan Asia Tenggara di Bangkok, baru-baru ini.

Dalam edisi lalu di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad judo sekadar berpuas hati dengan satu perak dan tiga gangsa.

"Untuk Sukan SEA kali ini, kami menyasarkan kategori kata untuk emas dan tempur, sekurang-kurangnya akan cuba mendapatkan pingat. Berdasarkan prestasi semasa atlet, kami berada di tahap terbaik," ujar Marjan.