Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, yang baru menamatkan program latihan di Amerika Syarikat (AS), mempersoalkan mengapa namanya tercicir daripada kategori B acara 200 meter dalam Sukan SEA Filipina, November depan sedangkan dia menghuni ranking keempat Asia Tenggara.

Jonathan pulang ke tanah air dengan persoalan mengapa namanya tidak tersenarai dalam acara itu.

Dia menghuni ranking keempat Asia Tenggara dengan catatan 20.92 saat -- menyamai pencapaian pelari legenda, Tan Sri Dr. M. Jegathesan.

"Saya dah layak tapi mereka tidak letak nama saya, jadi saya tidak tahulah.

"Catatan terbaik saya tahun ini ialah 20.92s, jadi tengoklah macam mana," katanya.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hanya menyenaraikan pemegang rekod kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib, dalam acara 200m berbekalkan catatan 20.77 saat.

Buat masa ini, Jonathan sah beraksi dalam acara 100m berbekalkan catatan 10.37 saat dan masih menanti siapa akan menjadi gandingannya dalam acara reben biru itu.

"Tengok kepuasan kepada mereka, situasi menang-menang, mana yang mereka nak, mana yang mereka setuju.

"Jika mereka setuju untuk perlumbaan pemilihan itu, tiada masalah," tambahnya.