Penyertaan minit akhir pasukan jiu-jitsu negara tidak akan merencatkan sasaran mereka dalam meraih pingat setiap kategori dalam Sukan SEA Filipina.

Ogos lalu, MOM mengambil langkah drastik apabila menolak permohonan dua persatuan, sekali gus menafikan wakil sukan jiu-jitsu dan tenis ringan menjelang saingan di Filipina, hujung tahun ini.

Namun, rayuan yang dilakukan oleh Persatuan Brazilian Jiu Jitsu Grappling Fight Team (GFTeam Malaysia) telah diterima dan bakal menghantar empat atlet negara menyertai temasya itu bagi mencabar empat acara yang dipertandingkan.

"Persiapan atlet sangat memuaskan. Atlet negara menjalani latihan di dua kem sekitar Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh ketua jurulatih, Bruninho Cardo Barbosa.

"Kami juga telah mengkaji kemampuan lawan yang perlu dihadapi di Manila nanti," kata pengurus skuad negara, Sharizal Md Sidek.

England, Amerika Syarikat serta Vietnam merupakan antara venue kejohanan yang telah disertai atlet negara sebelum ini dan Sharizal yakin penampilan pertama Malaysia dalam temasya dwitahunan itu mampu membutirkan pingat buat kontinjen negara.

"Keempat-empat atlet telah bertanding di luar negara. Mereka telah bersaing di peringkat yang tinggi dan pengalaman mereka berdepan atlet jiu-jitsu bertaraf dunia akan menjadi bekalan untuk meraih kejayaan dalam Sukan SEA bulan depan."