Laluan mudah dalam Sukan SEA Filipina diraih atlet jiu-jitsu negara, Damon Soo Yan Wei, selepas meraih dua pingat emas dalam Kejohanan IBJJF Pan Pacific di Australia, minggu lalu.

Melihat tuan rumah sebagai pencabar utama, dia tetap optimis persiapan dilakukan sepanjang tahun mampu membantunya meraih pingat di Filipina bulan depan.

Perkara itu tampak lebih realistik buatnya setelah berjaya meraih dua emas dalam kategori gi dan no gi semasa penglibatannya di Australia.

Meskipun hanya menyedari status bertanding di Filipina bulan lalu, empat wakil negara menyasarkan untuk memenangi sebarang warna pingat dalam keempat-empat acara bawah 69 kilogram, 62kg, 55kg dan 45kg yang akan disertai nanti.

"Sepanjang tahun ini, saya bertanding dalam banyak saingan. Saya telah mempersiapkan diri, terutama baru pulang dari Melbourne. Saya meraih dua emas di sana, jadi ia bagus," katanya.

Sementara itu, atlet jiu-jitsu wanita negara, Casandara Jay Poh Yong, gembira sukan itu kini lebih diterima masyarakat.

"Saya mahu tunjukkan bahawa warga Malaysia mampu melakukannya. Mereka sentiasa melihat wakil luar negara tetapi saya mahu buktikan bahawa kami juga boleh," katanya.