Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, akan bersedia untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan meskipun tidak beraksi di pentas antarabangsa sejak Mei lalu akibat menjalani rawatan masalah kesihatan berkaitan perut.

Jin Wei, yang juga juara remaja dunia, turut tersenarai dalam skuad 20 pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini sebagai usaha menepati sasaran dua pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

Jin Wei, 19, yang kini menghuni ranking ke-34 dunia, kali terakhir beraksi dalam Kejohanan Piala Sudirman di China, Mei lalu.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, akan mengetuai barisan pemain muda dan berpengalaman dengan pemain perseorangan lelaki, Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, akan membuat penampilan sulung dalam temasya itu.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata pihaknya turut melihat kepada pemain berpengalaman untuk membimbing pemain muda bagi memburu kejayaan dalam Sukan SEA Filipina, 30 November hingga 11 Disember depan.

"Kami mahu memberikan pendedahan kepada pemain muda sebagai langkah persediaan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemilihan Chong King dan Aidil Sholeh adalah berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan dalam beberapa kejohanan lalu, termasuk pencapaian terbaru Chong King mengatasi Aidil Sholeh untuk menjuarai Kejohanan Terbuka Hellas di Sidirokastro, Greece, Ahad lalu.

Selain itu, juara wanita Terbuka Hellas, S. Kisona, turut tersenarai dalam skuad negara ke Filipina.

Untuk rekod, dalam edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara hanya meraih satu pingat emas menerusi Jin Wei daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan selain turut meraih lima perak dan dua gangsa.

Senarai pemain ke Sukan SEA Filipina:
Perseorangan Lelaki: Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Lim Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Perseorangan Wanita: Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Lee Ying Ying, S. Kisona.
Beregu Lelaki: Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Beregu Wanita: Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.
Beregu Campuran: Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

-- BERNAMA