Skuad bola jaring negara enggan terperdaya dengan bayangan lambaian pingat emas selepas mara ke separuh akhir Sukan SEA Filipina selaku juara peringkat kumpulan semalam.

Malaysia akan menentang Brunei dalam separuh akhir di Kompleks Sukan Santa Rosa esok dengan membawa rekod tanpa kalah daripada peringkat kumpulan.

Dalam perlawanan terakhir semalam, skuad kendalian Tracey Robinson itu menewaskan seteru tradisi, Singapura, untuk memperoleh kelebihan psikologi menjelang pusingan kalah mati.

"Saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki sekiranya kami berjumpa mereka (Singapura) semula dalam final.

"Kerana kami sepatutnya memperoleh mata yang lebih banyak, cuma perlu menggunakan taktikal yang lain," kata kapten skuad negara, Nur Syafazliana Mohd Ali.

Malaysia dan Singapura dijangka akan mengulangi final edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, yang dimenangi skuad negara.

Bagaimanapun, Nur Syafazliana menegaskan barisan pemain negara tidak boleh memandang mudah cabaran Brunei dalam separuh akhir

"Kami tidak mahu leka dengan bayangan emas.

"Kami hanya mahu memandang satu perlawanan demi satu perlawanan.

"Jadi, kami akan meningkat dari hari ke hari," katanya lagi.

Robinson menambah: "Tiada pasukan yang boleh dipandang mudah. Brunei benar-benar sudah meningkat.

"Kami menewaskan mereka dengan jurang yang besar tetapi mereka memiliki pemain yang amat bagus.

"Bagi kami, setiap perlawanan amat penting dan harap-harap kami dapat menewaskan Brunei dan ke final," katannya.