Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer, yakin dapat mengekalkan momentum cemerlang di Filipina setelah berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019.

Jackie memecahkan rekod kebangsaan miliknya sebanyak dua kali pada balingan kedua, iaitu sejauh 67.49 meter dan balingan kelima dengan 68.22m, memadamkan rekod sebelumnya 67.31m.

Atlet berusia 27 tahun itu mengakui prestasinya semakin baik dan menganggap kejayaan hari ini sebagai persiapan rapi sebelum beraksi dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan.

"Prestasi saya bukan yang terbaik sebelum ini. Setelah saya catat rekod baru dalam Kejohanan Terbuka Korea, prestasi saya memang asyik jatuh. Hari ini baru saya rasa semakin baik dan elok. Jadi, saya yakin dapat lakukan yang terbaik dalam Sukan SEA nanti.

"Jika melihat kepada catatan hari ini, memang peluang saya untuk menang emas di Filipina agak cerah, namun saya tetap perlu berhati-hati kerana kami tidak tahu macam-macam boleh terjadi nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Untuk rekod, Jackie pernah memecahkan rekod kebangsaan ketika beraksi dalam Terbuka Korea Selatan, Jun lalu, dan Kejohanan Olahraga Asia, April lalu, masing-masing dengan catatan 67.31m serta 67.01m.

Sementara itu, jaguh Paralimpik negara, Abdul Latif Romly, yang mengambil bahagian bersama atlet normal memenangi acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.64m.

Dia yang mewakili Perlis mengetepikan pemenang pingat perak, Lokman Hakim Ramlan, yang mewakili ATM dengan catatan 7.58m dan pemenang pingat gangsa, Muhammad Azim Abdul Kefli dari Johor dengan catatan 7.29m.

Bagaimanapun, Latif yang berjaya memperbaharui rekod terbaiknya untuk tahun ini, tetap gagal menyambar tiket secara merit ke Sukan SEA Filipina.

-- BERNAMA