Skuad hoki negara berkemungkinan terlepas lagi peluang melakar kejayaan seperti Sukan SEA Kuala Lumpur tiga tahun lalu apabila penganjur temasya dwitahunan itu edisi 2021, Vietnam mengikut jejak langkah Filipina, tidak menyenaraikan sukan tersebut.

Pemain negara, Marhan Jalil -- merupakan antara pemain yang membantu Malaysia meraih pingat emas pada KL 2017 -- kecewa kerana skuad hoki sekali lagi tidak dapat menyumbang kejayaan buat Malaysia.

"Sayang untuk Malaysia kerana kami yakin mampu meyumbang emas untuk negara tetapi itu keputusan dari tuan rumah dan kami perlu terima," kata Marhan kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

Selain itu, seorang lagi pemain negara, Amirul Hamizan Azahar, meluahkan keinginan untuk membuat penampilan pertama dalam Sukan SEA bagi membantunya meningkatkan pengalaman sebagai pemain muda.

"Agak rugi dari segi pembangunan hoki disitu kerana tidak dipertandingkan. Kalau dipertandingkan, kami dapat banyak pengalaman disitu," kata Amirul.

"Macam mana pun kami tetap akan menyediakan pasukan walaupun tiada Sukan SEA. Sekiranya perlu kami akan mencari kejohanan lain," kata jurulatih skuad remaja negara, Wallace Tan.