Hoki dalam dewan: Skuad wanita di landasan tepat

Oleh Azizan Hashim 4 November 2019 119
Hoki dalam dewan: Skuad wanita di landasan tepat
Skuad hoki dalam dewan wanita negara yakin berada di atas landasan betul bagi menghadapi Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, selepas Malaysia muncul juara Kejohanan Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara di Dewan Jubli Merdeka Kuala Kangsar yang berakhir semalam.

Dalam kejohanan sulung yang disertai lima pasukan itu, Malaysia mengatasi Uzbekistan 3-0 dalam perlawanan akhir.

Malaysia menjaringkan tiga gol dalam babak kedua untuk menamatkan cabaran pemenang pingat gangsa Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Chonburi, Thailand, Jun lalu itu.

Malah, anak didik Dhaarma berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan itu, termasuk mencatat kemenangan dua angka ke atas Nepal dan Filipina.

"Kejayaan ini adalah petanda baik buat skuad negara ke Sukan SEA. Kejohanan ini memang pentas memilih pemain ke temasya di Filipina itu.

"Pemain-pemain ini adalah kerangka pasukan. Mereka akan bersaing dengan 12 pemain lain untuk ke Filipina.

"Mereka yang bermain cemerlang di sini sudah tentu akan terpilih, " kata Dhaarma yang kali pertama diberi tugas mengendalikan pasukan hoki dalam dewan wanita negara.

Mengenai perlawanan dengan Uzbekistan, jurulatih itu berkata ia tidak mudah kerana lawan juga pasukan yang kuat.

"Memang ia satu perlawanan sukar, termasuk pertemuan pertama, apabila kami menang 2-0. Mereka turut memiliki peluang menjaringkan gol tetapi mujur tiada penyudah," katanya.
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen