Hoang Duc pastikan Vietnam kekal rekod bersih

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2019 5500
Hoang Duc pastikan Vietnam kekal rekod bersih
VIETNAM 2 INDONESIA 1

Nguyen Hoang Duc menjaringkan gol kemenangan dalam waktu kecederaan untuk Vietnam menewaskan Indonesia 2-1 bagi mengekalkan tempat selaku pendahulu Kumpulan B, bola sepak Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.


Kedua-dua pasukan itu bertembung untuk merebut kedudukan teratas selepas memenangi dua perlawanan terdahulu.

Skuad Naga Emas kendalian Park Hang-seo itu membelasah Brunei 6-0 sebelum menewaskan Laos 6-1 manakala Indonesia merekodkan dua kemenangan 2-0, masing-masing ke atas Thailand dan Singapura.

Sejajar dengan sasaran itu, perlawanan berlangsung sengit dengan siri beberapa kekasaran.

Untuk menantikan aksi keras itu tamat dan jaringan gol tercipta, penonton di stadium itu perlu menunggu sehingga ke minit ke-23 gara-gara kesilapan penjaga gol Hanoi FC, Bui Tien Dung.

Pemain berusia 22 tahun itu gagal mengagak tepat jantaran lintang dari sebelah kanan yang menggegar palang golnya sebelum Sani Fauzi menanduk masuk lantunan untuk jaringan pembukaan.

Vietnam kemudian meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan dalam babak kedua.

Nguyen Trong Hoang dan Nguyen Quang Hai kerap mengancam gawang lawan, namun gol penyamaan yang dicari-cari datang daripada sumber berbeza.

Pemain pertahanan, Nguyen Thanh Chung, merupakan individu yang bertanggungjawab menanduk masuk bola daripada sepakan sudut ke gawang Nadeo Winata untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Vietnam kemudian mengubah nasib mereka apabila pemain tengah Viettel FC, Hoang Duc, merembat kencang gol kemenangan dalam waktu kecederaan untuk mengubah mimpi indah Indonesia kepada igauan ngeri.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen