Kecederaan tumit kanan yang dialami menganggu fokus atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin, tatkala temasya Sukan SEA bakal membuka tirai tiga minggu lagi.

Kecederaan itu dialami sejak September lalu semasa sesi latihan dan ia merencatkan persiapan atlet berusia 28 tahun itu apabila terpaksa mengurangkan kadar latihan dan program disediakan meskipun saingan di Filipina semakin hampir.

Hanya dua pendedahan kejohanan tahun ini buat Norliyana, yang menamatkan saingan dalam Terbuka Thailand sebagai juara Jun lalu serta naib juara Piala Uzbekistan dua bulan kemudian.

"Baru-baru ini, saya mengalami bengkak di bahagian tumit. Sekarang masih dalam proses pemulihan dan saya kawal sesi latihan agar tidak menjadi lebih teruk," katanya.

Selain acara heptatlon, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu juga akan menyertai satu lagi acara, iaitu lompat tinggi.

"Dalam kejohanan terakhir saya sertai, peningkatan dapat dilihat sejak mengalami kecederaan tahun lalu. Heptatlon memang ada acara lompat tinggi, jadi tiada masalah buat saya."