Penyerang skuad B-22 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, tidak mampu tersenyum sambil mengakui tugas berat untuk menewaskan Timor Leste dengan jaringan besar dalam perlawanan Kumpulan A, bola sepak Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal malam ini.

Selepas hanya mencetakkan satu gol daripada dua perlawanan, dia sedar skuad negara memerlukan jaringan yang besar untuk ke separuh akhir.

Ia selepas Malaysia terikat 1-1 dengan Myanmar dalam perlawanan pertama sebelum tewas 0-1 kepada tuan rumah, Filipina, dalam perlawanan kedua.

"Sebagai penyerang, kami akan memberikan yang terbaik untuk menjaringkan banyak gol.

"Tetapi apa yang paling penting, kami akan mencuba untuk mendapatkan kemenangan.

"Saya harap semua pemain dapat memberikan 100 peratus dan fokus untuk menjaringkan gol.

"Kami dibolosi daripada gerakan set-piece.

"Kami juga mempunyai peluang yang banyak, cuma tidak memanfaatkannya.

"Tetapi kami sudah memotivasikan diri dan akan menyudahkan setiap peluang," katanya.