Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Puteri Alyaa Mohd Abdul Ghani, menggalas tugas penting sebagai harapan utama skuad golf negara untuk menamatkan kemarau 18 tahun pingat emas dalam Sukan SEA Filipina bermula esok.

Ia merupakan penampilan sulungnya dalam temasya itu selepas Persatuan Golf Malaysia (MGA) mengesan bakatnya tahun lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu masih segar dengan kejayaan menjuarai Kejohanan Wanita Amatur SCGA di Amerika Syarikat dan menghuni ranking ke-62 dunia.

"Kami membawa masuk beberapa pemain yang baik, termasuk saya dari Amerika Syarikat.

"Saya fikir kami tidak akan berdepan masalah untuk mendapatkan kedudukan yang baik.

"Kami hanya perlu mendapatkan pusingan yang baik, jadi kami mengharapkan yang terbaik," katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas sukan itu adalah menerusi acara berpasukan lelaki dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2001.

Skuad negara akan dibarisi empat pemain lelaki dan empat wanita untuk memburu empat pingat emas yang ditawarkan di Filipina.