Skuad golf berpasukan wanita negara cemerlang melangkah ke final selepas menumpaskan pilihan utama, Thailand, hari ini.

Selepas dua perlawanan yang menyaksikan mereka terikat 1-1, Malaysia tampak mudah menguasai saingan play-off di lubang kesembilan tatkala taktikal dan susunan pemain negara berjaya memerangkap Thailand.

Pemain amatur nombor satu dunia, Atthaya Tithikul, mudah mengatasi Puteri Alya Abdul Ghany, dengan 8 up bermula di lubang ke-10.

Atthaya berehat hampir sejam menantikan pusingan kedua yang menyaksikan Natasha Andrea Oon cemerlang dengan 3 up berbaki dua lubang.

Menuju aksi play-off di lubang kesembilan, kelebihan taktikal dimiliki Natasha sewaktu melakukan birdie yang menjadi titik tolak kepada kejayaan negara mengejutkan Thailand.