Gimrama: Wujud unsur "berat sebelah" terhadap Malaysia -- Rachel

Oleh Penulis Jemputan 7 Disember 2019 3360
Gimrama: Wujud unsur
Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, tidak puas hati dengan beberapa keputusan yang dibuat para juri apabila berasakan terdapat unsur berat sebelah terhadap kontinjen negara dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina.

Malaysia menerima kejutan ketika acara apparatus gelung wanita apabila acara tersebut dimenangi oleh gimnas tuan rumah, Daniella Reggie Dela Pisa, dengan kiraan mata yang agak mengejutkan, iaitu 17.750 mata.

Keputusan mencurigakan itu diteruskan apabila bantahan kontinjen negara terhadap keputusan juri dalam acara aparatus wanita dinafikan pada awalnya.

Bagaimanapun, keputusan itu berubah selepas ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, membantah keputusan itu.

"Terdapat unsur berat sebelah dalam pemarkahan bagi saingan Sukan SEA kali ini. Amy Kwan merupakan antara pemenang pingat emas Sukan Komanwel dan kami telah melangkah ke peringkat akhir di tempat pertama dan telah kehilangan dua pingat emas," kata Rachel.

Bagaimanapun, Norza memberi jaminan bahawa kemelut seperti itu akan diselesaikan oleh pihak yang sepatutnya dan atlet harus terus memberi tumpuan untuk membanggakan Malaysia.

"Saya mengetahui sistem pengadilan yang tidak seimbang, ia merupakan lumrah dalam mana-mana kejohanan utama. Saya menasihatkan semua pihak harus memberi tumpuan untuk menghadirkan persembahan terbaik demi negara," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen