Gimrama: Syed Saddiq enggan lagi kompromi helah Filipina

Oleh Staff Writer 10 Disember 2019 4014
Gimrama: Syed Saddiq enggan lagi kompromi helah Filipina
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, enggan lagi berkompromi dengan helah tuan rumah, Filipina, dengan sedia membawa isu penarikan pingat emas gimarama dalam Sukan SEA ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Syed Saddiq ternyata berang dengan Filipina memandangkan beberapa keputusan membabitkan acara gimrama dalam temasya dwitahuan ke-30 itu amat meragukan sehingga menafikan kemenangan Malaysia.

Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sudah pun membuat bantahan rasmi kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).

Namun, kemuncak amarah kontinjen Malaysia ialah apabila Filipina menarik balik pingat emas yang dimenangi atlet negara, Izzah Amzan, dalam saingan apparatus reben setelah dia sebelum itu berkongsi mata dengan rakan sepasukan, Koi Sie Yan.

Difahamkan, Malaysia sudah mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) dan akan memanjangkannya kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Seandainya penganjur tidak berganjak dengan keputusan mereka, jalan terakhir adalah mengheret Filipina ke CAS memandangkan ia membabitkan maruah Malaysia selain menjejaskan pungutan pingat emas keseluruhan negara.

"Kami memang tidak berpuas hati dalam hal ini kerana terdapat beberapa insiden menyaksikan Malaysia secara terang-terangan memenangi emas, namun permarkahan menunjukkan sebaliknya," kata Syed Saddiq.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen