Gimrama: Malaysia muncul juara keseluruhan

Oleh Staff Writer 7 Disember 2019 1379
Gimrama: Malaysia muncul juara keseluruhan
Skuad gimrama negara beraksi dengan cemerlang dalam Sukan SEA Ke-30 apabila berjaya merangkul empat pingat emas, sekali gus menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan sukan gimnastik.

Bantahan kontinjen negara terhadap keputusan juri dalam acara aparatus reben wanita membuahkan hasil apabila dua gimnas negara meraih dua pingat emas menerusi Koi Sie Yan dan Izzah Amzan yang mengumpul mata sama dalam acara itu.

Sie Yan dan Izzah masing-masing meraih 15.200 mata untuk dikalungkan pingat emas manakala gimnas Thailand, Nat Kulnasawong, membawa pulang pingat gangsa selepas mengumpul 14.050 mata.

Izzah juga berjaya mempertahankan pingat emasnya dalam acara bola apabila melakar 17.800 mata.

"Pingat emas ini sungguh bermakna kerana saya gagal melakukan rutin yang cemerlang ketika peringkat saringan dan saya berjaya melakukan yang terbaik hari ini," kata Izzah.

"Saya sangat berbangga kerana membutirkan pingat emas buat Malaysia. Meraih emas berganda bersama Izzah adalah suatu pencapaian yang baik," kata Sie Yan.

Gimnas negara, Amy Kwan,pula tetap berpuas hati walaupun hanya meraih pingat gangsa dalam acara gelung dengan 15.900 mata.

"Saya sangat gembira masih lagi berpeluang untuk mewakili negara kerana mengalami kecederaan sebelum ini. Saya hanya menjalani satu kejohanan di Mesir sebagai persiapan dan telah melakukan yang cemerlang di Manila," kata Amy.

Sementara itu, bagi kategori senaman berpasukan, skuad negara terus cemerlang apabila berjaya mengungguli acara tersebut dengan kiraan mata 40.050 secara keseluruhan.

Dalam final pertama, iaitu apparatus tunggal, Malaysia mendapat kedudukan pertama dengan kiraan mata 22.650 mata manakala dalam final kedua, iaitu apparatus campuran, skuad negara mendapat tempat kedua dengan 17.400 mata.

Gabungan mata final pertama dan kedua itu meletakkan Malaysia sebagai juara senaman berpasukan.

"Kami sangat gembira dengan pencapaian ini dan ia adalah usaha sepasukan yang telah diusahakan sejak setahun lalu," kata gimnas negara, Chan Mei Thung.

Malaysia muncul juara keseluruhan gimnastik Sukan SEA Filipina apabila meraih sembilan pingat emas, iaitu lima emas daripada aritistik dan empat emas daripada gimrama.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen