Pengalaman berharga buat atlet gimrama negara, Izzah Amzan, apabila melonjak 10 anak tangga dalam Kejohanan Dunia di Azerbaijan bulan lalu, berbanding penampilannya tahun lalu.

Izzah antara yang terpilih mewakili negara selain Koi Sie Yan dalam kejohanan itu dengan memperbaiki ranking ke tangga ke-57 daripada 67, tahun lalu.

Empat acara individu dipertandingkan, iaitu membabitkan apparatus gelung, bola, belantan serta reben dan secara keseluruhannya, atlet berusia 19 tahun itu meraih 50.950 mata.

Menurutnya, ini merupakan pendedahan terbaik selain bakal menghadapi dua lagi pertandingan, Kejohanan Kebangsaan hujung minggu ini dan Kejohanan Seluruh Dunia di Jepun sebelum saingan Sukan SEA Filipina bermula bulan depan.

"Kami menerima banyak pendedahan dan banyak menyertai kejohanan di luar negara tahun ini.

"Saya fikir kami kini lebih tekal, cuma perlu membina keyakinan lagi," katanya.

Selain Izzah, turut dalam senarai pendek untuk mewakili negara dalam temasya dwitahunan itu termasuk Rayna Hoh, Sie Yan dan Amy Kwan.

"Saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki memandangkan ia adalah kejohanan pertama yang saya sertai dan saya pula masih berasa gemuruh.

"Jadi, saya perlu lebih bekerja keras," kata Rayna.