Selepas hampir setahun berehat gara-gara kecederaan buku lali, gimnas negara, Amy Kwan, mengesahkan penyertaannya dalam Sukan SEA 2019 di Filipina bulan depan.

Atlet berusia 24 tahun itu terlepas semua kejohanan besar tahun 2019 selepas menjalani pembedahan buku lali kiri Disember lalu.

Bagaimanapun, Amy tetap menjalani latihan enam bulan selepas pembedahannya dan tampak bersedia untuk mengambil bahagian di Filipina nanti dengan Pesta Gim dijadikan kejohanan pemanas badan sebelum ke Sukan SEA.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau optimis skuad gimnastik artistik kebangsaan bakal menyapu bersih kesemua pingat emas yang dipertandingkan.

"Amy mengalami kecederaan di bahagian buku lali sebelum ini dan kini sudah pulih serta sedia untuk beraksi di Manila," katanya.

Sementara itu, Rachel turut berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan tiga atlet lain, Izzah Amzan, Rayna Hoh dan Koi Sie Yan, dalam Kejohanan Gimrama Kebangsaan 2019.

"Barisan gimnas negara telah mula mempamerkan corak persembahan yang cemerlang dan saya berasakan sasaran pingat yang diletakkan mampu dicapai."